Wednesday February 14, 2018
5:07 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

14 FEBRUARI — Pada kesempatan ini, saya mewakili pimpinan PKR mengucapkan ‘Xin Nian Kuai Le’ dan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada semua rakyat berketurunan Cina di Malaysia.

Semoga sambutan tahun baru kali ini dapat memberikan kebahagiaan dan kegembiraan.

Perpaduan sesama rakyat Malaysia perlu dijalin demi kemaslahatan negara dan seterusnya berhasrat untuk menjadikan negara ini senantiasa makmur, bebas daripada rasuah dan rakyatnya hidup dalam kerukunan serta harmoni.

Justeru, bersempena sambutan Tahun Baru Cina ini, saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus beriltizam meneruskan usaha bagi memastikan setiap perbezaan agama dan fahaman politik dihormati sewajarnya dan titik persefahaman perlu dicapai demi merealisasikan matlamat ini.

Saban tahun lebih-lebih lagi apabila menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU), kita akan menyaksikan usaha-usaha oleh pihak Umno-Barisan Nasional (BN) untuk melemahkan perpaduan rakyat Malaysia dengan menggunakan platform media arus perdana yang dikuasai mereka.

Sehubungan dengan itu, saya ingin mengingatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh dengan tindakan yang boleh membawa kepada ketegangan terutamanya apabila isu-isu berkaitan dengan kaum dan agama cuba dipermainkan.

Suka saya menegaskan bahawa tiada sebarang ruang untuk prejudis perkauman dan perbalahan agama berlaku di negara ini dan saya sentiasa berdoa agar keharmonian akan kekal utuh.

Wajar diketahui bahawa Pakatan Harapan sentiasa menzahirkan perpaduan melalui perkongsian kuasa antara parti-parti komponen – PKR, Amanah, DAP, PPBM – sebagai usaha untuk mentadbir negara ini menjadi lebih baik berbanding pemerintahan BN demi keharmonian dan kesejahteraan seluruh rakyatnya.

Usaha ini tidak sekali-kali akan menggugat kedaulatan sultan Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera lain.

Akhir kata, saya juga berharap agar tahun baru akan membawa lebih kemakmuran dan keamanan kepada negara tercinta ini. Gong Xi Fa Cai.

* Datuk Saifuddin Nasution Ismail adalah setiausaha agung PKR

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Iklan

Iklan

MMO Instagram