Tuesday February 13, 2018
4:54 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

13 FEBRUARI — Saya memandang serius masalah etnik Uighur yang ditahan di Malaysia yang berkemungkinan besar akan dihantar pulang ke China secara paksa.

Laporan Human Rights Watch (HRW) menyebut tentang kemungkinan kumpulan etnik ini akan berhadapan penganiayaan, ancaman penjara dan penyeksaan yang jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Saya turut memahami dilema Kuala Lumpur untuk menolak permintaan Beijing ini kerana hubungan diplomatik yang erat serta kepentingan pelaburan dan perdagangan lumayan yang diperolehi ketika ini.

Walau bagaimanapun, saya menyeru supaya Kuala Lumpur menggunakan saluran diplomatik yang pelbagai termasuk cuba mendapatkan kerjasama daripada negara-negara berpengaruh termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menangani masalah ini.

Di samping itu, saya ingin mengulangi juga gesaan HRW supaya kerajaan membenarkan kumpulan etnik ini mendapatkan akses yang adil untuk menentukan status pelarian mereka dan bukannya turut dihantar pulang ke China.

Langkah ini sesuai dengan undang-undang antarabangsa yang tidak membenarkan tahanan dihantar secara paksa ke mana-mana tempat yang berpotensi untuk dikenakan sebarang penindasan yang bercanggah dengan hak asasi manusia.

Saya percaya rekod Beijing terhadap persoalan hak asasi manusia yang tidak begitu memuaskan perlu dijadikan garis sempadan yang penting oleh Kuala Lumpur untuk membuat keputusan penting ini.

Banyak laporan yang diterbitkan menunjukkan bagaimana umat Islam di China ditindas oleh kerajaan termasuk dihalang melakukan ibadah puasa,  berjanggut dan menyimpan objek yang berunsurkan Islam. 

Saya khuatir jika tuduhan bahawa kumpulan etnik Uighur itu terbabit dengan kumpulan pengganas Daesh hanyalah alasan semata-mata yang tidak dibuktikan kebenarannya.

Saya berharap perdana menteri boleh bertindak melangkaui kepentingan ekonomi dua hala dan menggunakan hubungan baik dengan kerajaan China untuk mendapatkan jaminan keselamatan ke atas golongan etnik Uighur itu. 

* Dr Siti Mariah Mahmud merupakan ahli parlimen Kota Raja dan juga ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Amanah).

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Iklan

Artikel-artikel berkaitan

Iklan

MMO Instagram