Tuesday November 14, 2017
5:38 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

14 NOVEMBER — Saya ambil maklum kenyataan yang disebutkan oleh ahli  parlimen Lenggong Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah bahawa pendidikan negara dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah dikategorikan sebagai percuma. 

Kebanyakan sekolah kerajaan di peringkat rendah mahupun menengah kini bergantung kepada sumbangan PIBG bukan sahaja untuk melakukan pelbagai aktiviti pelajar malah operasi sekolah diakibatkan oleh pemotongan belanjawan pendidikan. 

Kecoh sebelum ini sekolah-sekolah yang patutnya menyediakan pendidikan percuma sampai ke tahap meminta kertas A4 daripada pelajar dan guru, meminta sumbangan ibu bapa untuk cetak kertas peperiksaan dan menanggung kos guru gantian. 

Bagi sektor pendidikan tinggi pula, anak-anak muda daripada keluarga rakyat biasa yang ingin melanjutkan pelajaran kini terpaksa bergantung kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), yakni berhutang.  

Bilangan IPTA yang tidak bertambah banyak berbanding IPTS yang tumbuh bagaikan cendawan membuatkan majoriti rakyat bergantung kepada IPTS yang kosnya lebih tinggi. 

Jumlah biasiswa juga semakin berkurangan. Pelajar miskin dan pertengahan menjadi mangsa. 

Bandingkan dengan zaman Tun Abdul Razak Hussein di mana meskipun negara tidak kaya, kita memberikan tumpuan kepada pendidikan dengan pembukaan sekolah-sekolah berasrama penuh, asrama-asrama yayasan negeri dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Bagi sektor pendidikan tinggi, IPTA-IPTA baru dibina sementara biasiswa dalam dan luar negara digandakan. 

Bandingkan dengan Selangor hari ini di mana pembiayaan pendidikan prasekolah, sekolah rendah dan menengah, universiti serta teknikal meningkat saban tahun meskipun keadaan ekonomi semakin mencabar. 

Soal pendidikan percuma di semua peringkat yang sering diutarakan oleh Pakatan Harapan sepatutnya boleh berlaku pada negara kita yang telah mengecapi nikmat pembangunan. 

Saya begitu yakin jika tiada ketirisan, kebocoran atau amalan rasuah di negara ini, kita sememangnya berupaya melaksanakan pendidikan percuma di semua peringkat yang akan meringankan beban rakyat.

Pendidikan adalah pelaburan masa depan terpenting sesebuah negara. Mungkin kita tidak berapa merasai sangat kesannya hari ini, tetapi sanggupkah kita tinggalkan semuanya ini kepada anak cucu cicit kita? 

* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah ketua pemuda Pakatan Harapan.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline