Wednesday February 14, 2018
12:33 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Ramasamy berkata beliau diarahkan hadir memberi keterangan berhubung projek berkenaan di pejabat SPRM pada pukul 9 pagi. — Foto oleh KE OoiRamasamy berkata beliau diarahkan hadir memberi keterangan berhubung projek berkenaan di pejabat SPRM pada pukul 9 pagi. — Foto oleh KE OoiGEORGE TOWN, 14 Feb ― Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy hari ini hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes projek melibatkan tiga jalan utama dan projek terowong dasar laut di negeri ini.

Ramasamy yang juga Pengerusi Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia Sains, Teknologi dan Inovasi Pulau Pinang, hadir di pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini pada pukul 8.20 pagi ditemani peguamnya Datuk Aljit Singh Jessy.

Ramasamy ketika ditemui pemberita di perkarangan pejabat SPRM berkata beliau diarahkan untuk hadir memberi keterangan berhubung projek berkenaan di pejabat SPRM pada pukul 9 pagi.

“Ini adalah berkenaan projek terowong, selain itu saya tidak tahu walaupun saya tidak terlibat secara langsung dalam projek terowong ini sebab bukan di bawah portfolio saya.

“Saya dipanggil mungkin atas kapasiti sebagai exco kerajaan negeri atau mungkin tulisan-tulisan saya tentang isu terowong ini. Saya rasa saya tak boleh buat spekulasi, terpulang kepada mereka (SPRM) nak tanya apa,” katanya.

Katanya, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM bagi membantu siasatan kes projek berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Bernama berkata Ramasamy dipanggil sebagai saksi untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Ditanya sama ada kemungkinan SPRM akan memanggil anggota Exco lain juga, Azam berkata: “Bergantung kepada keterangan”.

Semalam, Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Lim Hock Seng hadir di pejabat SPRM negeri bersama peguamnya R.S.N Rayer bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes projek itu.

Pada 5 Januari lalu, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan membuat laporan dan menyerahkan bukti baharu berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion itu kepada SPRM di Putrajaya untuk siasatan sama ada wujud unsur salah laku atau rasuah dalam pembidaan projek dasar laut itu.

Ia merupakan laporan kedua beliau kepada SPRM berkaitan kes berkenaan. Huan membuat laporan pertama di SPRM untuk kes yang sama pada 21 Julai tahun lepas.

Sebelum itu  pada 17 Julai, Huan membuat laporan polis di Pulau Pinang dan meminta supaya disiasat dakwaan berhubung kerajaan Pulau Pinang telah menganugerahkan projek kepada sebuah syarikat yang mempunyai modal di bawah paras ditetapkan ketika membida projek terowong dasar laut itu.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. ― Bernama

Iklan

Iklan

MMO Instagram