Thursday December 7, 2017
3:01 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Datuk Seri Najib Razak sedar media sosial boleh menjadi 'senjata ampuh' untuk Umno dalam menghadapi persaingan politik era masa kini. ― Foto BernamaDatuk Seri Najib Razak sedar media sosial boleh menjadi 'senjata ampuh' untuk Umno dalam menghadapi persaingan politik era masa kini. ― Foto Bernama KUALA LUMPUR, 7 Dis ― Media sosial boleh menjadi "senjata ampuh" untuk Umno dalam menghadapi persaingan politik era masa kini.

Malahan sejak 2009 lagi Datuk Seri Mohd Najib Razak yang pada waktu itu menyandang jawatan Timbalan Presiden Umno sudah menyedari hakikatnya.

Beliau sendiri aktif menggunakan akaun Twitter dan Facebook miliknya sebagai wadah menyampaikan buah fikiran, maklumat serta penjelasan tentang isu panas kepada rakyat meskipun menerima pelbagai komen negatif.

Pendirian yang sama dikongsi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menekankan ancaman media sosial yang disifatkan beliau sebagai "ancaman berbeza” ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, Selasa lalu.

Pada hari yang sama Ahmad Zahid turut melancarkan Skuad Penerangan Anak Muda (SPAM) yang akan bertindak sebagai jentera penerangan bagi Pemuda Umno pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Dengan bahang pilihanraya semakin menyengat, apa yang menjadi persoalan ialah apakah Umno sudah cukup kuat di media sosial dalam menangani serangan politik yang datang bertali arus?

Kenali jenis audien

Ketua Pemuda Umno Cawangan Kelubi, Jasin, Melaka Nasaruddin Rahmat berkata audien di media sosial terutamanya daripada kalangan orang muda terbahagi kepada tiga golongan. Pertama, penyokong Umno dan kerajaan, kedua, penyokong parti pembangkang dan ketiga, adalah golongan yang tidak berpihak.

“Peratusan yang tidak berpihak, atau dikatakan sebagai ‘atas pagar’ inilah yang paling ramai. Kebanyakan orang muda hari ini mempunyai pendidikan yang tinggi dan tidak suka corak perkembangan politik tempatan.

"Mereka bosan dengan sikap saling salah menyalahkan antara satu sama lain yang diamalkan baik di pihak pembangkang mahupun kerajaan,” ulas beliau yang terlibat aktif dengan penggunaan media sosial dalam kempen parti di kawasannya.

Jelas beliau, meskipun Umno terlewat kira-kira 10 tahun berbanding pembangkang untuk memulakan gerak kerja kempen di alam siber, usaha secara konsisten yang dilakukan sudah mula menampakkan hasil, walaupun tidak terlalu ketara.

“Kita nampak orang luahkan kemarahan kepada Umno di media sosial, maka kita ubah metodologi daripada berlawan hujah kepada membentangkan maklumat. Biarlah mereka buat penilaian sendiri dan buat keputusan,” ulas beliau.

Beliau juga tidak menolak ada kalangan netizen yang terikut-ikutkan perasaan dan termakan modus operandi pihak pembangkang yang bijak membina persepsi dan membuat serangan peribadi. Di sinilah kekuatan pembentangan fakta memainkan peranan penting menangkis tohmahan dan fitnah.

Kata Nasaruddin lagi, pejuang siber Umno juga perlu mempelajari juga ilmu komunikasi dan psiko-linguistik supaya setiap maklumat dapat disampaikan dengan tepat dan efisyen. Hal ini pernah dibangkitkan Presiden (Najib) suatu masa dahulu.

Ahli Umno Cawangan Nerusa Lending, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Abdul Muiez Mohammad Ruslee, 34, berkata berita melibatkan Umno kurang mendapat sambutan baik netizen. Hal ini dapat dilihat di ruang komen portal-portal berita yang rata-ratanya dipenuhi komentar berbaur negatif.

Tambah Abdul Muiez, perkara sama dapat dilihat dalam respon netizen di akaun twitter Najib. Hatta tweet berkenaan pasukan bola sepak Manchester United turut mendapat respon yang bersifat mengutuk.

Pada pendapat beliau, di sebalik pelbagai kemudahan yang disediakan, ‘cybertrooper’ Umno masih belum cukup kuat. Oleh itu sebagai ahli Umno antara usaha yang boleh dibuat adalah dengan menggunakan laman media sosial peribadi.

Untuk menghadapi keadaan ini, bagi Abdul Muiez seseorang tidak semestinya perlu mengaku orang Umno secara terang-terangan tetapi apa yang penting adalah maklumat yang dikongsi supaya dapat dihadam dan difaham oleh masyarakat.

“Kita berkawan dengan ramai orang. Bila kita isytihar pendirian politik secara terang-terangan, ada orang yang akan menjauhkan orang daripada kita. Maka untuk elakkan konflik, di kecam dan sebagainya, kita ambil pendekatan berdiam diri dan dalam masa sama berkongsi pautan yang berkaitan yang menunjukkan fakta dan bukan semata-mata memuji kerajaan,” kata beliau kepada Bernama.

Mengurus sentimen

Pendekatan ini dipersetujui Pengerusi Biro IT Umno Bahagian Ampang, Syaiful Arief Mohamad Said yang menyatakan di waktu seperti sekarang ahli bukan sahaja perlu membantu menyampaikan maklumat dan penjelasan kepada masyarakat tetapi dalam masa sama perlu mengurus sentimen yang bermain di kalangan warga masyarakat.

“Apa yang penting adalah menjadi diri sendiri. Di media sosial seperti Facebook contohnya saya ada rakan daripada zaman sekolah, ada juga sudara mara dan ada juga kawan separti. Imbangkan ‘post’ politik dan peribadi untuk jaga hati semua orang. Kalau asyik bab politik sahaja orang pun meluat,” katanya.

Menggunakan cara ini, beliau dapat membuka ruang perbincangan yang lebih matang dan sebarang perbezaan pendapat dapat diraikan dengan baik.

Berdasarkan pengalaman beliau yang berkecimpung dalam kempen politik di alam siber sejak 2008, cara ini membolehkan beliau mengenali pendirian rakan di Facebook seterusnya mengetahui cara terbaik untuk berinteraksi dengan mereka, terutamanya audien "atas pagar."

Dalam masa sama beliau tidak menafikan memang ada kelompok yang sukakan pendekatan yang lebih agresif dan itu juga dibuat untuk memenuhi kehendak golongan ini untuk sentiasa bersemangat menyokong parti.

Cara berdepan

Pendekatan berbeza digunakan Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Cawangan Kampung Baru Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu, Norrismurizal Muslim, 34, yang memilih untuk menggunakan pendekatan ‘berdepan’ dalam menggunakan akaun Facebook peribadinya untuk mempromosi Umno.

"Hari ini saya menyokong kuat Umno-Barisan Nasional dan akan menggunakan Facebook peribadi saya untuk menyebarkan kebaikan yang Umno lakukan...sekiranya tuan puan kurang selesa, maafkan saya, tuan puan boleh ‘remove’ saya tapi kita akan tetap berkawan sampai bila-bila," begitulah petikan nukilan beliau di "wall" akaun Facebooknya.

Sejak 2009 beliau menjadikan Facebook kerana terpanggil untuk membantu Umno menjawab isu dan tohmahan yang ditimbulkan parti pembangkang. Walaupun mendapat kecaman netizen pro pembangkang beliau konsisten dengan pendekatan bersifat memberi penerangan dan tidak bertegang urat.

Jelas beliau lagi, walaupun terdapat pelbagai tohmahan dan "black ops" yang dilakukan pihak pembangkang Umno masih menggunakan kaedah "white propaganda" dengan menerbitkan kebaikan yang telah dilakukan parti dan kerajaan.

“Netizen sukakan fakta sebenar yang tidak diubah. Lazimnya saya akan mengeluarkan e-banner berkenaan pemimpin tempatan. Semakin hari rakan dan follower saya bertambah. Ini menunjukkan strategi ini berjaya,” ulasnya.

Masih dapat perhatian

Mengulas tentang sikap mengejek atau mencemuh dalam kalangan netizen terhadap parti dan para pemimpin Umno, pada hemat Syaiful jentera kempen perlu memahami budaya ‘troll’ yang menjadi amalan netizen hari ini.

“Ada yang memang bencikan kita tetapi ada juga yang bukannya marah sangat tetapi sengaja nak usik, nak juga letak komen. Kadang-kadang mereka letak komen berbaur jenaka. Golongan ini, kita ada peluang untuk menangi hati mereka,” jelas beliau.

Apa yang paling penting bagi Syaiful adalah, dengan adanya "like," komen, dan "share" sesuatu bahan yang dimuat naik pihak parti atau pemimpin parti menunjukkan parti dan pemimpin itu masih mempunyai tahap "visibility" yang baik di media sosial.

Kata Syaiful lagi, ini bererti Umno dan pemimpin Umno masih mendapat perhatian masyarakat. Jadi tugas yang perlu dibuat sekarang membuat perancangan bagaimana untuk menarik masyarakat untuk sekurang-kurangnya ada "sifat lembut hati" dan meyakini Umno adalah parti yang mereka percaya untuk mentadbir negara.

Mengulas tentang platform yang bakal popular sempena PRU 14, Syaiful yakin Facebook akan menjadi medan terbaik untuk menjalankan kempen berbanding aplikasi lain seperti Instagram, Twitter, dan Snapchat.

“Facebook hari ini adalah tempat orang berkongsi ‘content.’ Fungsi Facebook sendiri amat mesra kempen politik dengan kebolehan memapar artikel panjang, gambar, grafik, video, fungsi ‘one click sharing’, ‘live video’, ‘opinion poll’ dan FB Ads semuanya amat membantu kempen. Ini semua adalah kenderaan yang boleh digunakan untuk menjalankan kempen yang efektif,” ulas beliau.

Untuk nota, Donald Trump dan Hillary Clinton membelanjakan kira-kira USD81 juta untuk kempen di Facebook sepanjang kempen pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang berlangsung pada 2016.

Jaga adab​​​​​​​

Bagi ahli Umno Bahagian Cheras, Ustaz Muhamad Arif Ayub, 25, dalam keghairahan menggunakan media sosial, adab dan batas tetap perlu dijaga agar tidak mendatangkan dosa.

“Jika ia melibatkan isu negara, keselamatan dan ekonomi itu tiada masalah untuk berbahas tetapi kalau isu yang bersifat peribadi, keluarga dan sebagainya itu adalah tidak matang dan perlu diubah dalam trend berkempen dan trend meraih undi,” kata beliau.

Tambahnya, di dalam Islam, bercakap dosa peribadi seseorang itu ibarat membuka aib ia adalah satu dosa besar. "Bahkan dinyatakan dalam hadith sahih barang siapa menutup aib saudaranya Allah akan menutup aibnya di akhirat kelak, begitu juga sebaliknya, " katanya.

Menggunakan teknik penulisan yang pendek tetapi padat di Facebook, Muhamad Arif berkata beliau berjaya mengetuk pemikiran dan persoalan masyakat seterusnya menggalakkan mereka untuk bertanya tentang isu-isu yang bermain dalam fikiran mereka.

Di situlah timbulnya peluang untuk beliau menjawab sebarang persoalan dengan lebih mendalam.

Beliau turut mengingatkan baik kepada penyokong kerajaan mahupun pembangkang bahawa perbuatan memaki hamun, caci mencaci boleh merosakkan hubungan silaturrahim sesama manusia.

"Hatta mencaci mayat yang sudah mati pun tidak boleh di dalam Islam apatah lagi orang yang masih hidup," tegasnya. ― Bernama 

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline