Malay Mail Online

ProjekMMO

Enaknya aiskrim durian D24, berbaloi RM5

Dengan harga RM5 bagi secawan ais krim durian D24, ramai pelanggan berpuas hati dengan kelazatannya. — Foto ihsan Facebook/Mohd Fairuz Mohyi KUALA LUMPUR, 12 Jan ― Walaupun dijual dengan harga RM5, aiskrim durian dua pengusaha muda di Jalan Bellamy mendapat sambutan ramai.

Dek rasanya yang enak, walau cawannya mungkin dianggap kecil, ia tetap memuaskan hati pelanggan yang ingin mengecap nikmat durian. 

Menariknya, mereka menggunakan pati durian D24 yang berkualiti. Ia dibeli dari Thailand. Rasanya seperti isi durian yang baru diproses.

Aiskrim Durian D24 milik Ridzuan Anuar Mohammad, 33, dan Mohd Fairuz Mohyi, 33, di medan selera ikan bakar itu kini laris dan mula diperkatakan.

Selebriti Emma Maembong bersama Ridzuan Anuar Mohammad (kanan) dan seorang lagi pekerja Aiskrim Durian D24. — Foto ihsan Facebook/Ridzuan MohammadSelebriti Marsha Milan Londoh dan Wany Hasrita pernah menikmati aiskrim dua rakan sekolah itu di ruang makan itu, di belakang Istana Negara lama.

Dibuka sejak Mac 2017, mereka awalnya hanya menjual aiskrim biasa tetapi bertukar kepada perisa durian D24 selepas melihat kejayaan McDonald's.

Syarikat global itu pada Ogos 2017 menjual Durian McFlurry D24 yang mendapat sambutan hebat sehingga kehabisan stok dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Aiskrim Durian D24 beroperasi seawal 11 pagi sehingga 3.30 petang. Ia berada di Jalan Bellamy setiap hari kecuali Jumaat.

Seorang penjual Aiskrim Durian D24 sedang menyediakan hidangan menarik itu kepada seorang pelanggan. — Foto ihsan Facebook/Mohd Fairuz MohyiPelanggan yang menikmati makan tengah hari di medan selera itu selalunya membeli aiskrim ini sebagai pemanis mulut.

Dengan RM5 bagi secawan ais krim, kira-kira 6cm tinggi dengan 9cm diameter, kebanyakan pelanggan yang mencuba berpuas hati dengan kelazatannya.

Ridzuan dan rakan kongsi, yang berniaga di lokasi lain, mendapat RM500 sehari pada hari kerja tetapi jumlah itu mencecah RM1,000 pada hari minggu.

Jika mahu ke sini, dari arah selatan Jalan Istana, belok ke Jalan Bellamy di sebelah kiri sehingga sampai di medan selera di hujung jalan ini.

Penyanyi muda yang semakin popular Wany Hasrita antara pelanggan Aiskrim Durian D24. — Foto ihsan Facebook/Ridzuan MohammadKalau anda dari arah Jalan Bukit Petaling, belok ke kanan, pasti ternampak medan selera ini dan suraunya, yang digunakan sebagai masjid pada Jumaat.

Lebih mudah, guna sahaja aplikasi Waze atau peta Google di telefon anda.

Aiskrim Durian D24 juga boleh didapati di dua restoran popular Sambal Hijau (di Sungai Penchala, Kuala Lumpur) dan Nasi Bamboo Sungai Klah (Sungkai).  

Ia turut dijual di tepi medan selera depan Klinik Kesihatan Tanglin di sini. Seorang lagi berniaga di sekitar daerah Batu Pahat.

Anda boleh menyemak Facebook: Aiskrim Durian D24 Kuala Lumpur atau hubungi 013 243 1125 untuk tempahan aiskrim di majlis keraian.

Mohd Fairuz Mohyi bergambar di sisi peti sejuk Aiskrim Durian D24 di restoran Nasi Bamboo Sungai Klah pada 19 Julai 2017.