Malay Mail Online

ProjekMMO

Siswa dengar azan di hutan, sakit kejang otot reda

Pasukan bomba Kuala Kubu Baru menyelamatkan seorang siswa yang mengalami kekejangan ketika mendaki Bukit Kutu kelmarin. — Paparan skrin Google KUALA KUBU BARU, 14 Nov — Kesakitan akibat kekejangan otot seorang mahasiswa reda seketika selepas mendengar azan di puncak Bukit Kutu dekat sini.

Mohammad Annuar Ismail Kil, 24, kesakitan susulan keletihan dan kesejukan sehingga mengekang pergerakannya kelmarin, lapor Harian Metro.

“Hanya kesakitan yang saya rasai sepanjang berada di puncang Bukit Kutu,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang seberat 120kg.

“Ia hanya reda seketika apabila terdengar azan yang tidak tahu dari mana datangnya,” katanya lagi selepas diselamatkan pasukan bomba pagi semalam.

Beliau terpaksa berehat di Batu Tedung kerana otot kejang lepas empat jam mendaki bermula 9 pagi sementara tiga rakannya meneruskan pendakian.

“Saya terlelap seketika sebelum meneruskan pendakian dan berselisih dengan beberapa pendaki tetapi peliknya tidak terserempak dengan rakan-rakan saya.

“Saya teruskan mendaki sehingga ke puncak bukit namun tidak menemui sesiapa,” katanya. Lalu, beliau menjerit memanggil rakannya sebelum menghubungi bomba.

Ketua balai bomba dan penyelamat Kuala Kubu Baru berkata Mohammad Annuar diselamatkan selepas mengambil kira faktor kesihatannya dan keselamatan.

“Mangsa diberi rawatan awal dan hanya dibawa turun pagi ini (Isnin) dan tiba di pos kawalan bomba jam 10.40 pagi,” kata Kamil Hamadan.

Mangsa kemudiannya dirawat di sebuah hospital di sini.