Malay Mail Online

ProjekMMO

Enggan masuk kongsi gelap, pelajar dipukul, bibir koyak

Ketua polis Johor Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lima remaja yang disyaki memukul seorang pelajar kerana enggan menyertai kongsi gelap diburu — Foto Fail Bernama JOHOR BAHRU, 17 Julai — Polis sedang mencari lima remaja lelaki yang terlibat dalam kes memukul seorang pelajar lelaki tingkatan tiga selepas mangsa menolak untuk menyertai kumpulan kongsi gelap “Geng 550” di Jalan Impian Emas 9, di sini, tengah hari semalam.

Ketua polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata dalam kejadian pada pukul 1.05 tengah hari itu, mangsa yang berusia 16 tahun, merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di Taman Impian Emas di sini, didapati cedera di bibir, dahi, pipi kiri dan pergelangan tangan selepas dibelasah lima orang remaja yang juga merupakan bekas pelajar sekolah menengah di Taman Impian Emas.

Menurut beliau, sehingga kini usaha mengesan kelima-lima remaja berkenaan masih dilakukan dan beliau menyeru orang ramai untuk yang mempunyai maklumat mengenai kejadiaan untuk tampil.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan kerana polis tidak akan memberi ruang kepada kemasukan elemen gengsterisme menular ke dalam sekolah.

“Hasil siasatan kita mendapati kelima-lima remaja ini baharu sahaja dibuang sekolah dan sedang cuba mencari ahli baru untuk menyertai kumpulan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk mendapatkan rawatan selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang sedang menunggu bas sekolah untuk pulang, telah didatangi oleh lima orang remaja yang kemudian mengheret mangsa ke sebuah lorong berhampiran sebelum diugut dan dipukul.

Mangsa mendakwa ditumbuk beberapa kali hingga rebah dan ditendang hingga bibir bawah terkoyak dan berdarah, selain dahi serta telinga dan pipi kiri bengkak dan cedera di pergelangan tangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. — Bernama