Malay Mail Online

ProjekMMO

Dua anak dilacur ibu kian stabil, JKM cari waris

Mahkamah Sesyen Johor Baru menjatuhkan 15 tahun penjara terhadap setiap satu daripada 10 pertuduhan melacur dua anak. — Paparan skrin Google

JOHOR BARU, 14 Nov — Dua kanak-kanak yang dilacurkan oleh ibunya kini kian stabil selepas diberi kaunseling oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Berumur 10 dan 13 tahun, mereka menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani sesi itu sejak 1 November, lapor Berita Harian.

Pengarah JKM Johor Datuk Daud Arbah berkata mangsa kini ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak JKM di Ulu Tiram dekat sini.

“Kini, keadaan mereka semakin stabil dan menjalani kaunseling seminggu sekali,” katanya, yang sedang mengesan datuk, bapa atau waris mereka. 

Tambahnya, ia bertujuan memberi hak penjagaan mereka, yang berada di situ sehingga 19 Disember ini, sebelum mahkamah memutuskan status mereka. 

“Mahkamah akan menentukan hak jagaan terhadap kanak-kanak ini, sama ada diserahkan kepada waris atau institusi kebajikan,” katanya.

Mahkamah Sesyen di sini menghukum penjara ibu tunggal tanpa pekerjaan itu selama 75 tahun selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan.

Wanita itu, 39 tahun, didakwa menganiayai dan melacurkan dua anak kandungnya awal bulan lalu di sebuah hotel di Larkin Perdana.